Monday, December 19, 2011

Sayang


senyummu sayang
bagaikan intaian mentari pagi
wajahmu sayang
bagaikan jalur indah pelangi
hadirmu sayang
bagaikan menghidupkan yang mati

izinkanlah aku menyayangi
seadanya diri ini


soleil
maison du soleil
191211

Saturday, December 17, 2011

Hujan Malam


terjaga dari lena tidur
kujengah keluar jendela
yang kedengaran hanya deraian hujan
yang terlihat hanya langit manangis
dalam diam sunyi malam

duka apakah yang ditangiskan
dosa siapakah yang dihapuskan
pahala siapakah yang dikurangkan
dan aku terus memandang
dalam sejuta pertanyaan


soleil
maison du soleil
121611

Tuesday, December 13, 2011

Terimakasih


Terimakasih kerana bertandang, memberikan cahaya pada rembulan yang pucat, memberikan terang pada malam yang kelam. Terkadangnya kita tidak pernah meneliti dan jauh sekali untuk memahami, betapa sebuah senyum ikhlas yang dilemparkan kepada seseorang, memberikan seribu makna yang berbeda, melakar sebuah harap yang telus dan memadu satu doa yang kudus.

Suatu masa nanti, jika kau masih kemari, akan aku mainkan semula, video usang sebuah perjalanan hidup yang gambarnya telah kelam berbalam, kerana pitanya telah lelah berputar setiap malam mendatang.

Walaupun kelabu sayangku
Itulah memori luka hidupku


Soleil
maison du soleil
131211


Sunday, December 11, 2011

dalam diam dan payah


Hidup yang tak pernah menjanjikan apa-apa...kitalah manusia yang seringkali berjanji dan menodainya. Amat payah mengambil satu keputusan, namun keputusan itu mesti diambil jua, dimanakah akan kugapai kekuatan, dimanakah akan ku genggam keberanian, diamanakah penghujungnya keperitan, dimanakah berakhirnya kerinduan, dimanakah noktah baru buat memulakan satu lagi perjalanan.

Redha itu katanya terpaksa, pasrah itu tanda menyerah...
apapun redha dan pasrahlah
kerana segala sesuatu melalui jalurnya
dalam diam dan payah

soleil
maison du soleil
111211

Saturday, November 26, 2011

Neraka Berkaca


Apalah ertinya kehidupan jika ianya tidak menggembirakan kita. Hidup yang senantiasa dibayangi luka dan duka. Namun tidak sekali-kali aku salahkan takdir dalam percaturan ini, jalan yang berliku ini telah dihamparkan buat aku lalui , maka aku lalui dengan sejuta kepayahan dalam derasnya airmata.

Kutemui kau, kau dan kau dalam penyusuran yang payah ini, yang menghadiahkan aku kekuatan dan memberikan senyum yang tiada nilainya. Aku harapkan itu semua adalah keikhlasan dari kalian, yang memberikan sedikit ruang untuk ku bernafas.

Siapalah aku untuk menggapai semua yang aku mahu, sekadar setitis noda dosa yang hina dina di sisiMu, wahai pemberi Dzat kehidupan dan pengampun dosa besar. Setiap kali aku kehilangan upaya untuk berdiri dari satu kejatuhan, Kau hadirkan mereka buat pembakar duka...dan berbahagialah aku buat sementara...sehingga aku jatuh dan lemas lagi dalam banjiran mutiara dari mataku yang telah penat menakungnya...

Wahai empunya Kursi tertinggi lagi mulia, jangan Kau malukan aku dengan kelemahanku, ambil lah dosaku yang bertaburan bagai pepasir pantai, wahai pengampun segala dosa..dan jangan Kau ambil dia yang kau hadirkan sebagai penghibur lukaku....

Syurga dunia yang berlangitkan neraka berkaca, lindungi aku dari api yang bernyala-nyala, wahai pemilik semesta.....


soleil
maison de soleil
261111

Thursday, November 24, 2011

SMILE


kutemui senyum itu dengan takdirNya, ingin aku memiliki sekaliannya, apakah yang mampu aku lakukan, kerna senyum itu telah berpunya...dan bahagiaku sebahagiannya terdampar disana...

itulah kehidupan
yang tak pernah menjanjikan apa-apa
dan aku akan lemas lagi
untuk yang entah ke berapa kali

soleil

mampukah lagi


setelah sekian lama
mengeringkan gerimis
dan hujan lebat
yang melimpah
aku tak mampu lagi
untuk lemas kesekian kalinya

atau mampukah aku
mencari secebis lagi kekuatan
mengalirkan banjir dihati

soleil
alorakar 241111


Thursday, September 22, 2011

Akulah Itu

akulah yang berdiri memerhati

dari sudut yang kelam dalam dinihari

menguntai biji-biji mutiara airmata sepi

menghitung detik yang berlalu pergi


kudrat tidak lagi aku punya

segalanya tercalar dalam nestapa

langsung biarkanlah aku terus berbicara

dalam diam tanpa suara

dalam senyum yang melindungi hujan derita


kerana bagi kalian yang mengerti

tidak sukar

untuk kita berbicara dari hati ke hati




emasoleil 0041

kuala semantan 2209

Copyright © ES2011

All Rights Reserved

Monday, July 4, 2011

Haiku: Hujan Lebat


gemerlap lampu
hujan lebat yang turun
cinta yang hilang


soleil
anjungkasrah 0407
Copyright ES2011
All Rights Reserved

Sunday, June 26, 2011

Haiku: Kuta


Senja di Kuta
Aku mengusap duka
Rindu yang calar


soleil

pantai kuta - bali 1806

Copyright © ES2011

All Rights Reserved...

Sunday, June 5, 2011

Walau Panjang Lenaku


walau panjang lenaku

namun mimpi tak jua bertamu

baru terasa

betapa tawar dan hambar

hari-hari yang telah ku lalui

asyik cuba menuai mimpi

yang entah kemana pergi

walau panjang lenaku

tak terasa malam-malam kelam

tenggelam dek muramnya rembulan

aku masih menggamit angin

menganyamnya menjadi selimut

agar dinginnya tidak menusuk

dan aku bisa menyambung lenaku

dengan harap

mimpi itu nanti

akan bertamu lagi

soleil

kuala semantan 2810

Copyright © ES2010

All Rights Reserved...